basmallah Pictures, Images and Photos

Friday, March 6, 2009

Ragu Untuk Berdoa & Beramal Kerana Diri Melakukan Maksiat?

Doa itu adalah senjata bagi orang Mukmin

Ini suatu persoalan yang sering ditanya dalam masyarakat kita - adakah sesuatu amalan atau doa itu berkesan bagi mereka yang sering maksiat kepada Allah?

Maksiat itu penghalang perkenan doa?

Ya, anda benar dari suatu sudut jika berpandangan maksiat itu penghalang kepada rahmat dan perkenan doa serta penerimaan amalan. Akan tetapi, adakah kita harus berpeluk tubuh dan menerima kenyataan bahawa “doaku dan amalanku tidak akan diterima Tuhan kerana aku sering bermaksiat,” maka anda berhenti berusaha?

Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tiadalah seseorang Islam di bumi yang memohonkan sesuatu permohonan, melainkan Allah akan memperkenankannya, ataupun Allah menghindarkan dirinya daripada sesuatu kejahatan yang sama ukurannya, selama dia tidak memohon dosa atau untuk memutuskan tali persaudaraan”
Riwayat at-Tirmizi: hasan sahih.

Pekara penting ialah TINGGALKAN MAKSIAT. Jika kita bertanya - adakah doa atau amalanku berkesan? (kerana aku sering bermaksiat), ini sebenarnya silap. Kenapa tidak ditanya bila nak berhenti buat maksiat? Yang betulnya ialah, “aku ingin tinggalkan maksiat yang ku lakukan selama ini, mudah-mudahan Allah terima doa dan amalanku,” inilah pemikiran yang sepatutnya timbul dalam kotak fikiran kita. Tambahan pula Allah telah memberi jaminan untuk menerima permohonan hambaNya.

Hadapi musibah dengan doa

Sikap kita ialah: Allah menurunkan sesuatu kesukaran atau keperluan yang mendesak supaya kita kembali berpaling dan berdoa kepadaNya, dan bertaubat dari segala kesalahan. Ini kerana kadang-kadang kesenangan dan kemewahan itu tidak dapat menjadikan manusia semakin taqwa, bahkan makin lalai dari mengingati Allah. Allah sentiasa menyeru dan memanggil-manggil hamba-hambaNya agar berpaling dan berzikir serta beribadat kepadaNya.
Apabila mendapat musibah atau kesulitan, secara fitrah, manusia akan mencari jalan keluar. Jika tidak bertemu jalan penyelesaian maka hati mula menghadap meminta pertolongan Allah - sumber segala kekuatan dan pertolongan.
Surah Ghafir : ayat 60:

“Dan Tuhanmu berfrman: Dan berdoalah kepada Ku nescaya Ku perkenankan bagi mu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dari menyembah Ku (berdoa) akan masuk Jahanam dengan terhina”

Mengapa masih ragu?

Jika diteliti, musibah atau kesulitan itu boleh menjadi suatu gerbang atau pembuka jalan bagi mendekati Allah SWT. Masakan tidak, bila tertimpa musibah maka doa diucap bertalu-talu. Yang berdosa akan insaf dari kesalahan. Jadi mengapa fikiran kita menjadi keliru, ragu untuk berdoa dan beramal kerana kononya diri sering maksiat? Jika diri sering maksiatlah yang lebih utama untuk berdoa dan beramal supaya mendapat keampunan dan rahmat dari Allah SWT.
Ragu untuk berdoa dan beramal kerana diri sering maksiat, sebenarnya ilham dari syaitan supaya orang maksiat terus tinggal dalam maksiat dan tidak kembali bertaubat kepada Allah SWT. Ini kerana Allah menurunkan musibah dan kesulitan supaya manusia bermuhasabah diri dan kembali ke jalan benar, dan jika si hamba yang kena musibah itu orang yang baik maka ia akan diangkat darjatnya di sisi Allah melalui kesabaran menempuh ujian dan bala’.

Pandangan peribadi

Pada pandangan ana yang dhaif ini, tidak timbul soal berkesan atau tidak sesuatu doa atau amalan, kerana Tuhan berfirman “mintalah kepada ku nescaya akan kuperkenankan”. Sama ada lambat atau cepat itu terserah kepadaNya.
Cuma yang menjadi perbezaan, menurut pengalaman ana, orang yang sering melakukan maksiat itu lambat sedikit kemakbulannya. Mungkin Allah mengkifarahkan kesalahannya selama ini. Namun akhirnya dapat juga setelah beramal dengan tidak berputus asa, hari demi hari secara istiqomah.
Nasihat ana pada diri sendiri dan juga pada anda yang membaca - jangan ditanya sama ada berkesan atau tidak sesuatu amalan, doa atau petua, walhal diri sering bermaksiat, akan tetapi bertanyalah pada diri sendiri, belum tibakah lagi masa untuk aku berpaling beramal dan bermohon kepada Rabbul-Jalil?
InsyaAllah, Dia sentiasa membuka pintu perkenan untuk sesiapa sahaja yang meminta, tidak kira sama ada orang itu maksiat atau taqwa, sifat Ar-Rahman itu menyeluruh tidak kira Islam atau kafir, manusia mahupun binatang. Kasih Allah kepada hamba terlalu besar untuk dipersoalkan.

Soalnya kenapa diturunkan musibah?

Supaya manusia ini sedar dan insaf kesalahan mereka dan kembali menghadap, beramal dan berdoa kepada Allah. Juga untuk mengangkat darjat manusia disisi Allah melalui ujian kesabaran dan keteguhan iman.
Seperti contoh - Seorang tuan yang berada ditempat yang tinggi, memanggil-manggil akan hamba-hamba miliknya, namun para hamba seolah-olah tidak mendengar panggilan tuan mereka kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Maka si tuan itu pun menaburkan wang kertas dan syiling supaya para hamba ini berpaling dan berterima kasih serta menyahut panggilan si tuan. Akan tetapi para hamba yang berebut-rebut mengutip wang yang di taburkan itu, tidak pernah nak mendongak ke atas melihat siapakah yang menaburkan wang, kerana asyik berebut-rebut, bimbang dapat kepada orang lain.
Walau bagaimana pun Tuan kepada para hamba mahukan agar mereka berpaling serta mengendahkan panggilannya. Maka dari tempat tinggi itu, setelah para hamba tidak mengendahkan panggilan, walau setelah ditabur wang dan syiling, si Tuan mengambil keputusan bijak - melemparkan batu-batu kecil. Lemparan si Tuan akhirnya memberikan hasil apabila para hamba di bawah mendongak ke atas melihat siapakah yang melemparkan batu sampai bengkak kepala mereka. Si Tuan seraya berkata, “jika kamu semua masih berdegil tidak mengendahkan seruan aku, maka kamu akan terus ku lempari dengan batu-batu ini”.
Akhirnya para hamba kembali berpaling dan menyahut seruan Tuan mereka, kecuali segelintir yang masih berdegil dan masih tidak mendongak ke atas melihat kepada si Tuan, namun merungut-rungut kenapakah batu-batu menimpa kepala..

Mudah-mudahan kita hendaklah selalu mentaqarrubkan diri kepada Allah dan sentiasa HUSNUZON pada Allah agar kita sentiasa didalam rahmatNya dan buangkanlah dalam diri kita ini sikap sombong, berlagak, bakhil untuk berdoa kepada Allah SWT..dan ingatlah doa itu adalah senjata bagi orang mukmin..

No comments:

Post a Comment