basmallah Pictures, Images and Photos

Sunday, March 29, 2009

Zagazig,Perak Dipilih DPM dan BKAN Terbaik



27 Mac - Dewan Perwakilan Mahasiswa Zaqaziq (DPMZ) telah diisytiharkan sebagai Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) Terbaik serta BKAN Perak sebagai Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) Terbaik bagi sesi 2008. Pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung PMRAM, Ustaz Syafiq Zulakifli di akhir Ijtimak Umumi atau Muktamar Sanawi kali ke-76 di Nadi Riyadhi sekitar jam 7 malam. Menurut beliau, pada tahun ini, dua anugerah telah diwujudkan iaitu Anugerah DPM Terbaik dan Anugerah BKAN Terbaik. Justeru, panel penilai yang terdiri dari Badan Pengurus PMRAM serta AJKT HEWI PMRAM teah memiilih Dewan Perwakilan Mahasiswa Zaqaziq sebagai penerima Anugerah DPM Terbaik manakala Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sebagai BKAN Terbaik. Anugerah DPM serta BKAN Terbaik dinilai dari segenap aspek serta diwujudkan kriteria-kriteria tertentu antaranya dari segi pengurusan, komitmen ahli dengan PMRAM dan lain-lain.

Sementara itu, DPM Zaqaziq juga dipilih sebagai Perwakilan (Ikhwah) terbaik manakala bagi perwakilan terbaik akhawat disandang oleh Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah (DPMI). Di akhir majlis juga diadakan tayangan slide berkisar program dan peristiwa PMRAM sepanjang setahun.

Sumber : Petikan Dari Laman PMRAM

Muktamar PMRAM Terima Empat Usul

26 Mac-Ijtimak 'Umumi atau Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-76 hari ini menerima empat usul yang dikemukakan oleh para perwakilan yang hadir. Sesi usul dan cadangan itu dikemukakan sekitar jam 3.30 petang sebaik sahaja selesai sesi pembentangan penyata kewangan. Usul pertama dikemukakan perwakilan dari DPM Zaqaziq, Ustaz Mumtaz Haron yang berbunyi "Mahasiswa-mahasiswi bersatu membanteras anasir-anasir yang mencetuskan masalah keselamatan, unsur-unsur perpecahan dan tidak mengamalkan Islam secara syumul." Usul ini kemudian dibahaskan dengan panjang oleh para perwakilan dan kesemuanya menyokong usul tersebut. DSC00216.JPG

Presiden PMRAM, Ustaz Khairul Anuar Ismail yang mengendalikan muktamar mengumumkan usul ini diterima sebulat suara.

Usul kedua yang diterima muktamar dibawa oleh Ustaz Mohd Firdaus Mazlan dari Selangor dengan usul "Mempertahankan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang bernaung di bawah PMRAM". Perwakilan yang bangun menyokong usul tersebut turut membangkitkan masalah yang berlaku kepada Badan Kebajikan Anak Negeri Sembilan (BAKANS) dan terbaru kepada Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang (BKMIP).

Usul ketiga yang juga diterima sebulat suara dengan matan usul "Menggesa pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) berbincang dengan pihak imigresen Mesir bagi memudahkan urusan menyambung visa."

Manakala usul keempat berkenaan usaha menjayakan Dana Syaqah PMRAM yang dibentangkan oleh Naib Presiden III PMRAM, Ustaz Khusaini Md.Yusof dan dicadangkan oleh Penasihat PMRAM, Ustaz Hairul Nizam Mat Husain yang mencadangkan setiap ahli menyumbangkan LE300 kepada tabung ini dalam tempoh setahun telah diterima dengan undian.

Bagi usul kelima, iaitu berkenaan menangani kejatuhan prestasi akademik ahli dengan melaksanakan dua langkah berikut iaitu pertama tidak boleh mengadakan sebarang program pada waktu kuliah kecuali setelah mendapat keizinan dari Presiden PMRAM dan kedua tidak membenarkan mereka yang istisnak memegang jawatan pada peringkat BKAN, DPM dan PMRAM.

Usul ini walau bagaimanapun mendapat bantahan dari perwakilan dan dicadangkan dibawa ke muktamar akan datang.


Sumber : Petikan dari laman PMRAM.

HARAMKAN PMRAM? BUDAK UMNO BIADAP


Kebetulan lewat jam 2 am di Ipoh , saya sempat menonton berita di TV sementara menunggu waktu bersahur .

Terkejut seketika apabila saya mendengar ucapan seorang wakil Kelab UMNO Luar Negara berucap di Perhimpunan Agung UMNO dengan nada angkuh dan biadab malah menampakkan kebodohan terlampaunya apabila menggesa UMNO supaya haramkan PMRAM .

Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan di Perhimpunan Agung UMNO kelmarin menggesa supaya PMRAM diharamkan dan biasiswa anggota Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ditarik balik.

"PMRAM perlu diharamkan, biasiswa pelajar yang menyertai PMRAM perlu ditarik balik," katanya. "Apabila pelajar kita tiba sahaja (di Mesir), PMRAM lebih dahulu menyambut mereka di lapangan terbang. "Mereka ini, pegawai- pegawai kita pun takut. "Malah, kami sendiri tidak mendapat tempat apabila asrama dikuasai pembangkang," katanya, yang sedang menuntut sebuah universiti di Southampton, Britain.

Satu gesaan yang bukan sahaja tidak masuk aqal tetapi memperlihatkan niat dan sikap yang jahat Kelab UMNO Luar Negara terhadap Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir [ PMRAM ] yang cukup berkaliber malah besar jasanya kepada mahasiswa/i Malaysia , Indonesia , Singapura dan Brunei di Mesir bahkan kepada negara tercinta .

Saya kira Wan Md Hazlin sangat dangkal pengetahuannya mengenai PMRAM atau beliau hanya budak suruhan UMNO yang tidak sudah - sudah menyimpan dendam kepada PMRAM sejak 1991 lagi .

Sebaik sahaja saya tiba di Mesir pada tahun 1992 , saya telah mendengar suara - suara jahat yang mendesak kerajaan Malaysia mengharamkan PMRAM . Sedang PMRAM sangat besar dan tinggi nilai jasa baktinya kepada Mahasiswa/i bahkan rakyat Malaysia di Mesir . Malah PMRAM telah wujud lebih awal dari wujudnya kedutaan Malaysia ke Mesir .

Jasa bakti PMRAM tidak siapa mampu menafikannya termasuklah sebahagian pemimpin UMNO sendiri yang dulunya pernah menjadi Yang diPertua PMRAM atau anggota Badan Pengurus PMRAM .

Saya masih ingat bagaimana langkah jahat pihak tertentu , bagi tercapai cita - cita mahu mengharamkan PMRAM telah menubuhkan sebuah pertubuhan tanpa cop halal iaitu PPMM . Walhal PMRAM telah wujud sejak 1930 menabur khidmat dan menyatukan mahasiswa di atas satu wadah iaitu PMRAM .

PPMM yang dianggotai oleh ahli - ahli UMNO di Mesir bertanggungjawab memecahbelahkan solidariti mahasiswa/i sekelagus membibitkan benih perbalahan dikalangan mahasiswa/i . Kesan pecah retaknya terasa hingga ke hari ini .

Terbaru kenyataan Wan Hazlin yang cukup menjadi asas bahawa dendam UMNO dan hasad pemimimpin mereka terhadap PMRAM masih belum selesai . Lebih terserlah ialah kebodohannya sendiri apabila mendesak UMNO agar mengharamkan PMRAM .

Apa hak UMNO dan di mana bidang kuasa UMNO untuk mengharamkan PMRAM ? PMRAM adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan kerajaan Mesir bukan berdaftar dengan UMNO !!

Sepatutnya Wan Hazlin sebagai seorang yang terpelajar , kena fokus ucapannya untuk membersihkan UMNO dari imej buruk terpalit moral yang rendah dengan krisis integriti pada tahap parah dan kritikal dikalangan pimpinan UMNO . Malangnya beliau melihat PMRAM menjadi ancaman kepada UMNO , lantas penuh emosi mendesak supaya UMNO mengharamkan PMRAM dan menarik balik biasiswa ahli PMRAM . Standard ucapan Wan Hazlin dari Kelab UMNO Luar Negara bagai ucapan JKKK , dibakar oleh api permusuhan yang dinyalakan sendiri oleh mereka .

Kalau ahli Kelab UMNO luar Negara yang rata - rata anggotanya adalah dikalangan pelajar di luar negara mempunyai tahap pemikiran kelas ke 3 , bagaimanalah UMNO mahu melakukan transformasi bagi melahirkan UMNO berwajah baru kononnya . Ya , mungkin wajah baru tetapi perut pedalnya masih lama .

Wan Hazlin sepatutnya merujuk dulu kepada tokoh - tokoh negara bahkan tokoh - tokoh UMNO sendiri yang seketika dulu pernah memimpin PMRAM dan bakat kepimpinan mereka dibentuk oleh PMRAM .

Kaji juga peranan dan jasa bakti yang dicurahkan oleh PMRAM kepada pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir . Jangan bertindak melulu berasaskan tohmahan dan mempercayai fitnah liar yang dilempar .

Saya cabar agar Wan Hazlin buktikan atas kesalahan dan jenayah apa sehingga PMRAM yang jauh lebih tua usianya berbanding Wan Hazlin itu mahu diharamkan ?

Kalau hanya tuduhan kononnya PMRAM menyebarkan ideologi pembangkang , sila buktikan ! dan bagaimana pula dengan Kelab UMNO , secara jelas membawa ideologi parti politik . So apa bezanya ? Inikah sikap double standard UMNO yang akan mewarnai transformasi mereka kelak .

Dipetik dari laman Ustaz Nasrudin Tantawi..

Tuesday, March 17, 2009

PUISI UNTUK PARA PEJUANG


Di sini manusia menguruskan diri sendiri

mencari bekal masing-masing dari daerah kelahiran dan dengan langkah berani mengharung lautan gelombang di sini yang sesekali ganas namun tidak kejam

Hidup di sini memang payah

terpaksa menempuh duri susah

melawan rasa kantuk berlarian antara dewan kuliah dan khutub khanah

sesekali langkah rasa ingin berhenti

namun mutiara masih belum lagi erat tergenggam di jari selagi itu, roh dan semangat perlu terus diisi

Kekadang sulit sebenarnya

melawan rasa rindu menentang rasa sendu

bila sesekali desa kelahiran memanggil-manggil untuk pulang

atau suara emak lembut gemersik

menyata rindu yang berputik

Aduhai para pejuang

langkah masih terlalu amat pangjang

kutiplah semangat di sepanjang titian agar nanti mutiara bercahaya memancarkan seri bayaran untuk susah dan duri sepanjang di sini.

Friday, March 6, 2009

Ragu Untuk Berdoa & Beramal Kerana Diri Melakukan Maksiat?

Doa itu adalah senjata bagi orang Mukmin

Ini suatu persoalan yang sering ditanya dalam masyarakat kita - adakah sesuatu amalan atau doa itu berkesan bagi mereka yang sering maksiat kepada Allah?

Maksiat itu penghalang perkenan doa?

Ya, anda benar dari suatu sudut jika berpandangan maksiat itu penghalang kepada rahmat dan perkenan doa serta penerimaan amalan. Akan tetapi, adakah kita harus berpeluk tubuh dan menerima kenyataan bahawa “doaku dan amalanku tidak akan diterima Tuhan kerana aku sering bermaksiat,” maka anda berhenti berusaha?

Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tiadalah seseorang Islam di bumi yang memohonkan sesuatu permohonan, melainkan Allah akan memperkenankannya, ataupun Allah menghindarkan dirinya daripada sesuatu kejahatan yang sama ukurannya, selama dia tidak memohon dosa atau untuk memutuskan tali persaudaraan”
Riwayat at-Tirmizi: hasan sahih.

Pekara penting ialah TINGGALKAN MAKSIAT. Jika kita bertanya - adakah doa atau amalanku berkesan? (kerana aku sering bermaksiat), ini sebenarnya silap. Kenapa tidak ditanya bila nak berhenti buat maksiat? Yang betulnya ialah, “aku ingin tinggalkan maksiat yang ku lakukan selama ini, mudah-mudahan Allah terima doa dan amalanku,” inilah pemikiran yang sepatutnya timbul dalam kotak fikiran kita. Tambahan pula Allah telah memberi jaminan untuk menerima permohonan hambaNya.

Hadapi musibah dengan doa

Sikap kita ialah: Allah menurunkan sesuatu kesukaran atau keperluan yang mendesak supaya kita kembali berpaling dan berdoa kepadaNya, dan bertaubat dari segala kesalahan. Ini kerana kadang-kadang kesenangan dan kemewahan itu tidak dapat menjadikan manusia semakin taqwa, bahkan makin lalai dari mengingati Allah. Allah sentiasa menyeru dan memanggil-manggil hamba-hambaNya agar berpaling dan berzikir serta beribadat kepadaNya.
Apabila mendapat musibah atau kesulitan, secara fitrah, manusia akan mencari jalan keluar. Jika tidak bertemu jalan penyelesaian maka hati mula menghadap meminta pertolongan Allah - sumber segala kekuatan dan pertolongan.
Surah Ghafir : ayat 60:

“Dan Tuhanmu berfrman: Dan berdoalah kepada Ku nescaya Ku perkenankan bagi mu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dari menyembah Ku (berdoa) akan masuk Jahanam dengan terhina”

Mengapa masih ragu?

Jika diteliti, musibah atau kesulitan itu boleh menjadi suatu gerbang atau pembuka jalan bagi mendekati Allah SWT. Masakan tidak, bila tertimpa musibah maka doa diucap bertalu-talu. Yang berdosa akan insaf dari kesalahan. Jadi mengapa fikiran kita menjadi keliru, ragu untuk berdoa dan beramal kerana kononya diri sering maksiat? Jika diri sering maksiatlah yang lebih utama untuk berdoa dan beramal supaya mendapat keampunan dan rahmat dari Allah SWT.
Ragu untuk berdoa dan beramal kerana diri sering maksiat, sebenarnya ilham dari syaitan supaya orang maksiat terus tinggal dalam maksiat dan tidak kembali bertaubat kepada Allah SWT. Ini kerana Allah menurunkan musibah dan kesulitan supaya manusia bermuhasabah diri dan kembali ke jalan benar, dan jika si hamba yang kena musibah itu orang yang baik maka ia akan diangkat darjatnya di sisi Allah melalui kesabaran menempuh ujian dan bala’.

Pandangan peribadi

Pada pandangan ana yang dhaif ini, tidak timbul soal berkesan atau tidak sesuatu doa atau amalan, kerana Tuhan berfirman “mintalah kepada ku nescaya akan kuperkenankan”. Sama ada lambat atau cepat itu terserah kepadaNya.
Cuma yang menjadi perbezaan, menurut pengalaman ana, orang yang sering melakukan maksiat itu lambat sedikit kemakbulannya. Mungkin Allah mengkifarahkan kesalahannya selama ini. Namun akhirnya dapat juga setelah beramal dengan tidak berputus asa, hari demi hari secara istiqomah.
Nasihat ana pada diri sendiri dan juga pada anda yang membaca - jangan ditanya sama ada berkesan atau tidak sesuatu amalan, doa atau petua, walhal diri sering bermaksiat, akan tetapi bertanyalah pada diri sendiri, belum tibakah lagi masa untuk aku berpaling beramal dan bermohon kepada Rabbul-Jalil?
InsyaAllah, Dia sentiasa membuka pintu perkenan untuk sesiapa sahaja yang meminta, tidak kira sama ada orang itu maksiat atau taqwa, sifat Ar-Rahman itu menyeluruh tidak kira Islam atau kafir, manusia mahupun binatang. Kasih Allah kepada hamba terlalu besar untuk dipersoalkan.

Soalnya kenapa diturunkan musibah?

Supaya manusia ini sedar dan insaf kesalahan mereka dan kembali menghadap, beramal dan berdoa kepada Allah. Juga untuk mengangkat darjat manusia disisi Allah melalui ujian kesabaran dan keteguhan iman.
Seperti contoh - Seorang tuan yang berada ditempat yang tinggi, memanggil-manggil akan hamba-hamba miliknya, namun para hamba seolah-olah tidak mendengar panggilan tuan mereka kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Maka si tuan itu pun menaburkan wang kertas dan syiling supaya para hamba ini berpaling dan berterima kasih serta menyahut panggilan si tuan. Akan tetapi para hamba yang berebut-rebut mengutip wang yang di taburkan itu, tidak pernah nak mendongak ke atas melihat siapakah yang menaburkan wang, kerana asyik berebut-rebut, bimbang dapat kepada orang lain.
Walau bagaimana pun Tuan kepada para hamba mahukan agar mereka berpaling serta mengendahkan panggilannya. Maka dari tempat tinggi itu, setelah para hamba tidak mengendahkan panggilan, walau setelah ditabur wang dan syiling, si Tuan mengambil keputusan bijak - melemparkan batu-batu kecil. Lemparan si Tuan akhirnya memberikan hasil apabila para hamba di bawah mendongak ke atas melihat siapakah yang melemparkan batu sampai bengkak kepala mereka. Si Tuan seraya berkata, “jika kamu semua masih berdegil tidak mengendahkan seruan aku, maka kamu akan terus ku lempari dengan batu-batu ini”.
Akhirnya para hamba kembali berpaling dan menyahut seruan Tuan mereka, kecuali segelintir yang masih berdegil dan masih tidak mendongak ke atas melihat kepada si Tuan, namun merungut-rungut kenapakah batu-batu menimpa kepala..

Mudah-mudahan kita hendaklah selalu mentaqarrubkan diri kepada Allah dan sentiasa HUSNUZON pada Allah agar kita sentiasa didalam rahmatNya dan buangkanlah dalam diri kita ini sikap sombong, berlagak, bakhil untuk berdoa kepada Allah SWT..dan ingatlah doa itu adalah senjata bagi orang mukmin..

Hikmah Ayat Seribu Dinar..


Ayat 2 dan 3 surah at-Tolaq atau lebih dikenali sebagai ayat 1000 dinar merupakan amalan yang masyhur dalam hal berkaitan kerezekian serta perlindungan diri. Ramai orang mengamalkan ayat ini untuk tujuan meminta agar Allah mengurniakan kemurahan rezeki, kemudahan dan penyelasaian masalah. Sesiapa yang berminat bolehlah mengamalkannya tetapi haruslah secara berterusan. Namun ayat ini ada kisahnya.
Pada zaman dahulu ada seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi nabi Khaidhir. Pedagang itu kemudian diperintahkan untuk bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah tiga kali mengalami mimpi yang sama pedagang itu mula berfikir bahawa mimpi yang beliau alami itu adalah benar. Sesuai seperti yang diperintahkan, pedagang itu pun bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah itu, sekali lagi pedagang tersebut bermimpi bertemu nabi Khaidhir. Lalu nabi Khadhir pun mengajarkanlah akan pedagang itu ayat 2-3 surah at-Tolaq untuk diamalkan. Lalu beramallah pedagang dengan ayat berkenaan.
Sehinggalah pada suatu hari pedagang tersebut ingin pergi berdagang ke suatu tempat yang lain dengan menggunakan jalan laut iaitu menaiki kapal. Di tengah pelayarannya datang angin taufan yang sangat dahsyat. Apa yang boleh dilakukan oleh pedagang itu hanyalah bertawakkal pada Allah sambil terus menerus membaca akan ayat yang telah diajarkan nabi Khaidhir. Akhirnya kapal yang beliau naiki pecah dipukul ombak, semua penumpangnya kembali ke alam baqa kecuali pedagang tersebut. Apabila telah reda angin taufan yang melanda, beliau mendapati dirinya terdampar di tepi pantai sebuah negeri, bersama barang dagangannya yang tidak rosak walau sedikitpun. Sambil menadah tangan mengucapkan syukur ke hadhrat Allah, beliau sedar dan insaf akan kebesaran ayat yang diamalkannya itu. Lalu padagang itu mengambil keputusan untuk tinggal di negeri tersebut.
Tinggallah lelaki itu di negeri yang baru, berdagang dan berniaga dengan penduduk negeri, disamping terus mengamalkan membaca ayat 2-3 surah at-Tolaq, sehinggalah beliau diangkat menjadi raja di negeri tersebut (rezeki yang tidak disangka-sangka). Begitulah kisahnya, sehinggalah sekarang ini ayat yang diajar Khaidhir itu digelar ayat 1000 dinar.
Barangsiapa mengamalkan ayat ini insya-Allah akan:
1.Memperoleh kemurahan rezeki yang tidak disangka-sangka.
2.Mendapat jalan keluar dari segala masalah dan kesulitan.
3.Mendapat perlindungan dari segala musibah dan bala bencana seperti peperangan, kezaliman dan bencana alam.
4.Jika berperang insya-Allah tidak akan cedera atau binasa kecuali telah sampai ajal.
5.Allah akan menyampaikan segala hajat dan memberi kemudahan dalam setiap urusan.
Cara untuk mengamalkannya hendaklah dibaca setiap selesai dari solat 5 waktu, sebelum berangkat ke pejabat atau tempat kerja dan bacalah juga setiap kali sebelum hendak tidur. Bacalah dengan bilangan 3 atau 5 atau 7 kali. Inilah ayatnya..


ومن يتق الله يجعل له مخرجا ويرزقه من حيث لا يحتسب ومن يتوكل على الله فهو حسبه إن الله با لغ امره قد جعل الله لكل شيء قدرا


Mudah-mudahan dengan mengamalkan ayat 1000 dinar ini Allah akan membuka pintu rezki kita dan peroleh manfaat dan keberkatan di dunia dan akhirat..